Ucapan:

YB DATO’ AHMAD ZAHID HAMIDI, TIMBALAN MENTERI PENERANGAN

-----------------------------------------

MAJLIS PEMBUKAAN DAN PELANCARAN PAMERAN “MUMMY & ME 2006”

1 SEPTEMBER 2006 (JUMAAT)

11.00 PAGI

DEWAN 3, MID VALLEY EXHIBITION CENTRE, KUALA LUMPUR

 

Yang Berbahagia Dr. Zulkifli Ismail,
Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA),
serta ahli-ahli komiti MPA, selaku hos pameran Mummy and Me 2006.

Yang Berusaha En. Zulkiflie Baharudin,
Ketua Eksekutif ESPIFOKUS Sdn Bhd,
penganjur pameran.
Wakil Syarikat-syarikat penaja serta para peserta pameran.

Yang saya hormati rakan-rakan media,

Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian.

Assalamualaikum wbt dan selamat pagi,

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kerana menjemput pihak Kementerian Penerangan untuk turut serta di dalam program Mummy and Me 2006. Program sebegini adalah tepat pada masanya dan amat sesuai bagi proses penyampaian dan penyebaran maklumat-maklumat terkini kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya kepada pasangan yang baru menimang cahayamata. Ini adalah kerana ianya dapat membantu rakyat Malaysia meningkatkan pengetahuan mereka dan seterusnya secara langsung, membantu mereka di dalam kehidupan mereka sekeluarga.

2. Penyebaran maklumat terkini berkaitan barangan serta perkhidmatan yang berkenaan, cara hidup yang sihat dan selamat serta tip-tip penjagaan keluarga dilihat berjaya menarik minat masyarakat untuk mengunjungi pameran ini. Selain dari itu, program-program sampingan seperti pertandingan-pertandingan untuk seisi keluarga serta sudut riang ria khusus bagi kanak-kanak turut menjadikan Mummy and Me 2006, satu program keluarga yang komprehensif dan positif.

3. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur, hos, syarikat-syarikat penaja serta peserta pameran yang terlibat di dalam program ini. Komitmen serta rasa tanggungjawab tuan-tuan serta puan-puan di dalam membantu menyebarkan serta mempromosikan nilai-nilai kekeluargaan yang positif melalui Mummy and Me 2006 adalah sesuatu yang amat penting dan amat dialu-alukan oleh Kerajaan. Ini adalah kerana ianya selaras dengan hasrat kerajaan di dalam usaha pembentukan satu masyarakat maju yang berlandaskan nilai-nilai positif budaya Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

4. Penjagaan ahli keluarga terutama bayi dan kanak-kanak memerlukan ibu bapa yang mempunyai penuh kesabaran, belaian kasih sayang dan pengetahuan yang luas. Informasi terkini berkenaan penjagaan kanak-kanak termasuk penjagaan anak-anak istimewa seperti kanak-kanak down syndrome, autistik dan lain – lain adalah penting bukan sahaja kepada ibubapa kanak-kanak tersebut, bahkan juga kepada semua masyarakat bagi penyediaan satu kehidupan yang bermakna bagi mereka.

5. Semua kanak-kanak, normal atau istimewa, memerlukan suasana yang mampu meransang pembangunan minda dengan sebaik mungkin. Kebanyakan produk serta perkhidmatan terkini yang ada di pasaran sekarang boleh membantu ibu-bapa di dalam hal ini. Saya juga difahamkan bahawa kebanyakan produk-produk serta perkhidmatan-perkhidmatan ini ada di pamerkan di pameran Mummy and Me 2006 ini.

6. Disamping produk-produk serta perkhidmatan yang berkaitan, ibubapa juga perlu menimba ilmu penjagaan kanak-kanak bagi memenuhi kehendak semasa. Seminar sampingan Mummy and Me 206, iaitu Seminar Positive Parenting oleh Persatuan Pediatrik Malaysia akan dijalankan mulai esok di sini, dan ianya juga akan membantu memberikan satu pemahaman berkenaan penjagaan, kesihatan serta keselamatan anak-anak yang amat penting bagi semua ibubapa. Saya ingin mengucapkan selamat menimba ilmu bagi semua yang bakal menyertai seminar ini.

7. Kementerian Penerangan sentiasa menyokong usaha-usaha pihak swasta di dalam proses penyebaran maklumat seperti program Mummy and Me 2006 ini. Ini adalah kerana program sebegini memenuhi keperluan negara di dalam aspek pendidikan, pengetahuan serta hiburan bagi seisi keluarga. Harapan Kementerian agar program Mummy and Me 2006 ini akan berjalan lancar dan menjadi satu program tahunan yang bakal mendapat sambutan bukan sahaja di ibu negara, bahkan juga boleh diusahakan di peringkat negeri di Malaysia.

8. Saya ingin juga mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta pameran dan semoga peyertaan tuan-puan berjaya mencapai objektif yang telah disasarkan.

9. Dengan ini, saya secara rasminya membuka serta melancarkan program pameran Mummy and Me 2006 ini.

Terima kasih.